Monday, August 27, 2007

*** Tuk Kenali Melangkah Ke Makkah ***

Kebolehan dan kepintaran Tuk Kenali telah memikat hati Haji Salleh Janggut sehingga mendorongnya untuk menjodohkan anak perempuannya, Mek Nik, dengan Tuk Kenali. Ketika itu Tuk Kenali berusia 16 tahun. Tetapi perkahwinan di atas kehandak orang tua itu berlansung selama 1 tahun sahaja, diikuti dengan perceraian. Di sebalik peristiwa itu tersembunyi hikmah yang besar. Tuk Kenali empunyai cita-cita yang besar dan hasrat yang terpendam untuk mendalami ilmu di Makkah. Dengan berkat dorongan ibunya, yang membekalkannya wang $22, dan galakan dari kawan-kawan, Tuk Kenali bertolak ke Tanah Suci dengan kapal layar ketika berusia 18 tahun (sekitar 1886).

Pelayaran ke Makkah dengan kapal layar yang sepatutnya memakan masa 3 bulan tergendala kerana kapal mengalami kerosakan dan terpaksa mengambil masa 6 bulan untuk tiba di Makkah. Ketika sampai di Makkah, musim haji telah berakhir. Di Makkah, hampir 7 bulan pertama Tuk Kenali tiada tempat tinggal tetap, hanya menetap di serambi Masjidil Haram. Sesudah mempunyai tempat menginap, beliau masih gemar ber’iktikaf, bermutala’ah, belajar dan tidur di masjid. Tuk Kenali hidup sederhana; pakaiannya hanya 2 pasang, kerap kali makan berlaukkan ikan kering, sedikit tidur dan seringkali tidur berbantalkan lengan.Beliau juga membuat kerja-kerja sambilan untuk menyara belanja pengajiannnya, termasuk menjadi tukang masak.

Beliau dikatakan menjadi tukang masak di rumah seorang hartawan. Hartawan itu menerima Tuk Kenali berkhidmat dengannya kerana terpikat dengan kerajinan dan kehalusan akhlaq beliau. Hartawan itu dikatakan berasal dari Kelantan dan bermukim di Makkah. Falsafah hidup Tuk Kenali di Makkah ialah : ‘ Berbelanja ketika penuh saku, berhenti ketika tangan kosong. Nikmat Allah melebihi bilangan rambut; wajib disyukuri. ‘

Bersambung...

*** Guru-Guru Tuk Kenali di Kota Bharu ***

Di Kota Bharu, Tuk Kenali belajar dengan beberapa tuan guru, antaranya;
1. Encik Ismail bin Mahmud (pernah menjadi khadi)
2. Tuan Guru Haji Ibrahim bin Yusof (pernah menjadi mufti Kelantan)
3. Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh (Tuan Tabal)
4. Tuan Guru Haji Muhammad (Tuan Padang)
5. beberapa orang tuan guru lain.Dalam masa beberapa tahun sahaja beliau dapat membaca kitab-kitab seperti Al Airrumiyyah, Syarh Ibnu ‘Uqail, Al Fiyyah dan Matamiah, yang semuanya berhubung dengan nahu saraf. Beliau juga khatam banyak kitab dalam jurusan tauhid, feqah, tasawwuf dan lain-lain.

*** Berkat Doa dan Asuhan Ibu ***

Kejayaan Tuk Kenali dalam bidang ilmu dan kepimpinan adalah berkat asuhan dan doa ibunya, seorang wanita solehah bernama Fatimah yang mengharapkan anaknya muncul sebagai seorang yang mulia di sisi agama. Asuhan awal ibunya berjaya menanamkan bibit-bibit sifat mulia pada diri beliau sehingga sifat-sifat itu menjadi pakaian dirinya sampai beliau dewasa. Dalam masa yang sama Tuk Kenali mendapat bimbingan awal datuk sebelah ibunya, yang dikenali dengan nama Tuk Leh, seorang imam kampung yang alim. Datuknya itulah yang mula-mula sekali mengajarnya menulis dan membaca Al-Qur'an setelah kematian bapanya, Ahmad, seorang petani warak. Sejak itu bermulalah Muhammad Yusof bin Ahmad yang akhirnya masyhur dengan gelaran Tuk Kenali itu hidup yatim ketika baru berusia 5 tahun (tahun 1873).

Beliau terus dididik dan diasuh datuknya, Tuk Leh dan beberapa orang tuan guru kampung dengan iringan doa dan harapan ibunya. Dengan kecerdasan aqal yang dikurniakan kepadanya, Tuk Kenali deras dalam menghafaz dan memahami apa saja ilmu yang dipelajarinya. Sewaktu usianya mencapai 10 tahun, Tuk Kenali mendapat restu ibu dan datuknya untuk mengaji agama di bandar Kota Bharu. Tuk Kenali terpaksa berulang-alik sejauh 8 batu pergi balik dari Kampung Kenali ke bandar Kota Bharu dengan berjalan kaki.

*** Awang Kenali Anak Genius ***

Telah menjadi satu kebiasaan baginya, bila hendak pergi mengaji Al Qur'an, dia akan meletakkan sebotol air putih di tepi pintu di sebelah dalam rumahnya. Sepulangnya dari rumah guru mengaji yang terletak berhampiran rumahnya, dia akan duduk dekat botol air itu sambil merenung ke lantai. kemudian, dengan berdakwatkan air dari dalam botol itu, dia menulis dengan jari di atas lantai papan. Begitulah caranya seorang anak yang mempunyai nama timangan 'Awang', yang baru berusia sekitar 6 tahun ketika itu, berusaha menghafaz ilmu yang baru dipelajarinya.Awang memang dianugerahi ALLAH kepintaran di samping mempunyai sikap ingin tahu dan ingin maju yang kuat. Dengan beberapa kali ajar dan biasanya sekali ajar sahaja, dia dapat menulis dan membaca dengan tajwid dan tartilnya. Dia keberatan apabila diminta oleh gurunya membaca ayat-ayat yang telah diajar. "Sudah kalih (sudah dapat), " katanya ketika ditanya. Sambil seyum gembira, gurunya akan mengubah kepada ayat-ayat baru kerana muridnya yang bernama Muhammmad yusof itu ckup kuat ingatannya dan cerah otaknya. Kepintaran Awang Muhammad Yusof menarik perhatian Tuk Penggawa (penghulu: yang pada masa itu sangat besar kuasanya) kampungnya, yang melantiknya menjadi kerani. Tugas Awang Muhammad Yusof ialah membilang pokok buah-buahan orang kampung yang mengeluarkan hasil untuk dipungut sumbangannya yang diistilahkan sebagai cukai oleh pejabat Tuk Penggawa. Walaupun tugas itu nampak mudah, tetapi yang istimewan ianya dijalankan oleh seorang budak yang baru berusia 9 tahun. Kecemerlangan Awang Muhammad Yusof dalam bidang ilmu pengetahuan tidak berakhir di situ. Kerana tidak lama kemudian dia meninggalkan jawatan kerani untuk memenuhi cita-citanya melanjutkan pelajaran ke Kota Bharu. Di situlah bermulanya perjalanan hidupnya yang panjang untuk menguasai ilmu selama lebih 25 tahun, termasuk 17 tahun di Makkah dan 5 tahun di Mesir. Dan sebaik pulang dari perantauan menuntut ilmu, mulalah beliau menyumbang bakti kepada masyarakat ramai khususnya dalam bidang pendidikan dan pelajaran. Menyedari peripentingnya menyebarkan ilmu secara tersusun dan berkesan, beliau membuka 2 pusat pengajian pondok di kampung kelahirannya, Kenali, dalam jajahan Kota Bharu. di sinilah beliau mengasuh dan mendidik, hingga melahirkan tuan-tuan guru yang turut berjuang denagn membuka pondok-pondok pengajian di tempat masing-masing. Sejak itu, masyhurlah seorang ulama' berbadan gempal, bermisai, berjanggut serta berjambang dan gemar kepada pakaian serban jubah itu sebagai seorang wali ALLAH dengan gelaran Tuk Kenali.

Sebermulanya

Nama Tuk Kenali tidak asing lagi di negara ini, dan satu ketika dulu pengaruh beliau cukup kuat hingga sampai ke Pattani. beliau mempunyai peranan lansung terhadap kebangkitan Islam di Kelantan pada zaman kegemilangannya hingga mendapat julukan 'Serambi Makkah'. di samping mengajar, Tuk Kenali aktif dalam penulisan, urusan kemasyarakatan dan juga pemerintahan. beliau adalah orang penting di belakang penerbitan majalah 'Pengasuh'. pernah menjadi Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Ahli Majlis (Dewan) Ulama'.

Tuk Kenali berpesan kepada murid-muridnya, antara lain, "Mengaji sungguh-sungguh" dan "Buka pondok". Sekitar 2 dekad eprtama abad ke-20 itu, era pondok-pondok pengajian berkembang begitu pesat hasil sumbangan barisan pelapis yang mendapat asuhan dan tarbiyyah secara lansung daripada Tuk Kenali serta tokoh-tokoh ulama' lain di Kelantan. Murid-murid Tuk Kenali datang dari merata tempat terutamanya Kelantan, Kedah dan Terengganu. Menurut sumber yang boleh dipegang, Tuk Kenali mengamalkan Tareqat Ahmadiyah. Beliau dikurniakan banyak karamah, kelebihan yang pelik-pelik tetapi benar berlaku.